2010/04/22

Bukan sekadar antivirus: IkonaMAPS

Di petik daripada KOSMO


TATKALA asyik melayari Internet dalam alam siber, komputer yang digunakan mempunyai risiko tinggi terdedah kepada bahaya 'diceroboh' tanpa disedari pengguna. Senario itu tentu sekali akan menyusahkan pengguna, apatah lagi apabila komputer yang digunakan untuk melakukan tugas harian ataupun aktiviti lain secara tiba-tiba tidak dapat berfungsi dengan baik.

Memburukkan lagi keadaan, peranti tersebut mengalami masalah tanpa diduga puncanya sehingga terpaksa diperbaiki dan diganti baru sekali gus mengakibatkan kerugian kepada pengguna.

Memang sukar mempercayainya, tetapi itulah hakikat terpaksa dihadapi pengguna komputer dalam era dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar.

Bagi membendung masalah itu daripada terus berlaku, pengguna komputer perlu mengambil langkah berhati-hati dengan mengutamakan aspek keselamatan untuk menjaga dan melindungi peranti mereka daripada 'diceroboh'.

Malangnya, walaupun dengan teknologi serba canggih hari ini ada sahaja virus, perisian perosak (malware), penggodam dan perisian intip (spyware) baru yang sentiasa berlegar di alam siber menanti masa sesuai untuk 'menyerang' komputer pengguna.

Bahkan, pakar-pakar teknologi menganggarkan sekurang-kurangnya terdapat 500 virus komputer baru yang dilepaskan ke Internet setiap bulan.

SERANGAN virus ke atas gajet komputer anda akan membahayakan data-data penting yang disimpan.

Menyedari situasi genting itu, sebuah syarikat milik bumiputera Malaysia IkonaSoftware (M) Sdn. Bhd. yang berdaftar di Bahnhoffstrasse, Switzerland, membangunkan aplikasi sistem perlindungan komputer dikenali Ikona MAPS (Sistem Perlindungan Serangan Malware).

Ikona MAPS mempunyai perbezaan ketara berbanding dengan antivirus konvensional yang terdapat di pasaran kerana ia menawarkan empat konsep keselamatan iaitu antivirus, antispyware, antimalware dan antihack.

Perlindungan empat dalam satu

Menurut Ketua Pegawai Operasi IkonaSoftware (M) Sdn. Bhd., Mohamad Razali Salleh, setiap satu konsep keselamatan itu mempunyai fungsi yang berbeza-beza untuk melindungi komputer pengguna.

"Ia mempunyai sifat melindungi, mengawal dan memusnahkan 'ancaman' terhadap komputer pengguna.

"Ramai yang tersalah tafsir bahawa Ikona MAPS merupakan antivirus tetapi hakikatnya ia adalah sistem perlindungan komputer empat dalam satu yang dapat memberi perlindungan maksimum kepada pengguna," ujarnya ketika ditemui Kosmo!.

Mohamad Razali menambah, keunikan produk itu adalah pengguna masih mampu melindungi komputer mereka tanpa capaian ke Internet. Ikona MAPS boleh disifatkan sebagai 'hulubalang' yang mempertahankan komputer pengguna.

"Ada yang beranggapan mustahil produk ini dapat bertindak secara tunggal (stand alone) tanpa sokongan Internet kerana konsep perisian antivirus yang terdapat di pasaran memerlukan Internet untuk mengemas kini pangkalan data virus. Tetapi kita telah membuktikan ia mampu dilakukan.

"Ikona MAPS tidak menggunakan teknologi padanan atau logik heuristics bermakna pangkalan padanan virus secara tepatnya tidak wujud bagi mengenal pasti bentuk virus.

"Antivirus yang berdasarkan logik heuristic hanya memberi bayangan berjaya mengawal virus, tetapi kebanyakannya tidak dapat dikesan. Ia juga tidak mempunyai pangkalan data yang perlu dikemaskini bagi mengenali virus baru," ujarnya lagi.

Kata Mohamad Razali, perisian antivirus yang terdapat di pasaran menggunakan teknologi padanan (signature) kemas kini berterusan ke atas pangkalan padanan virus dan memerlukan 'patches' untuk memusnahkan setiap virus baru dikesan.


Tambahnya, jika pengguna tidak mengemaskini komputer dengan patches terbaru, bermakna perisian antivirus itu tidak mampu melindungi komputer daripada virus baru.

Disebabkan Ikona MAPS merupakan produk secara tunggal ia tidak menggunakan kaedah pengesanan ancaman virus dan seumpamanya menerusi pangkalan data virus. Ia mampu membunuh virus yang dikenali dan tidak dikenali.

"Kita tidak ada pangkalan data virus yang menyenaraikan virus dikenali kerana kita tidak memerlukannya. Ia boleh membunuh virus sama ada yang dikenali atau virus baru yang tidak dikenali. Apabila serangan berlaku setiap virus akan dikuarantin atau dihapuskan terus," katanya.

Ujarnya lagi, Ikona MAPS adalah perisian pintar yang mempunyai dua enjin pengkomputeran utama iaitu tujuan (intention) dan perangai (behavior). Apa yang dilakukannya hanya fokus agar sistem komputer tidak 'mesra malware' dan melindungi data komputer daripada penceroboh.

Katanya, ia juga akan beroperasi memantau dan melindungi sepanjang masa tanpa mengganggu aplikasi lain yang digunakan pengguna. Terdapat kerlipan lampu merah, biru dan kelabu pada ikon Ikona MAPS menandakan ia sedang beroperasi.

Kelebihan lain yang ditawarkan Ikona MAPS adalah ia juga bukan membunuh virus apabila ia melepasi RAM sebaliknya sebelum virus memasuki RAM lagi.

Ia melindungi komputer daripada serangan siber meliputi malware seperti virus, cecacing, eksploit, backdoor, key logger, Trojan kuda, wabbit, root kit, spyware serta penggodam.

Gabung tenaga 300 pakar

Menyentuh mengenai Penyelidikan dan Pembangunan Ikona MAPS, Mohamad Razali berkata, ia mengambil masa selama empat tahun untuk membangunkan produk cetusan idea anak tempatan.

"Kita menggunakan kepakaran tempatan dan luar negara untuk membangunkan Ikona MAPS. Proses penyelidikan dan pembangunan produk ini amat rumit kerana kita tidak mahu prototaip diketahui pesaing.

IKONA MAPS didatangkan dengan pemacu storan untuk memudahkan pengguna.

"Bahkan ia melibatkan hampir 300 tenaga pakar untuk menyiapkan produk ini kerana kita terpaksa mencantumkan satu persatu program Ikona MAPS bagi tujuan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Media IkonaSoftware (M) Sdn. Bhd., Syamsury Yunus, berkata, Ikona MAPS menerima platform Microsoft XP SP1/2/3 dan Vista, ia juga mengawasi muat turun dan fungsi salinan.

"Ikona MAPS memudahkan kawalan sekuriti automatik sama ada pada dalaman dan luaran sistem serta memantau rangkaian sekuriti termasuk penggunaan peranti luaran seperti pemacu storan dan cakera padat.

"Instalasi Ikona MAPS juga unik kerana menggunakan pemacu storan (thumbdrive) berbanding penggunaan cakera atau muat turun di Internet bagi produk antivirus konvensional. Pendekatan ini digunakan bagi mengelak sebarang bentuk penyalinan," katanya.

Ujarnya, semasa instalasi, Ikona MAPS akan melakukan imbasan ke seluruh sistem dan perisian yang ada dalam komputer dan ia dilakukan di antara 5 hingga 9 minit.

Katanya, imbasan default Ikona MAPS pula disetkan setiap 30 saat dan diselesaikan dalam masa 8 saat. Ia tidak memperlahankan komputer.

Satu unit Ikona MAPS dijual pada harga RM520. Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai produk itu boleh melayari laman web www.ikonasoftware.com.

1 comment:

Blogger said...

Using AVG anti virus for a few years now, I would recommend this product to all of you.

Morse code trainer