Huraian
Ayat ini merupakan celaan Allah s.w.t. terhadap sikap Bani Israel yang masih enggan menerima kebenaran sekalipun telah ditunjukkan bukti dan mukjizat.
Allah s.w.t. menyifatkan hati mereka lebih keras daripada batu, kerana sifat batu itu sendiri adalah pelbagai, walaupun keras ia masih mengalirkan air dari celah-celahnya ataupun jatuh dari tempat tinggi (bukit atau gunung) lantaran tunduk dan takut kepada Allah s.w.t.
Justeru, sebagai individu Muslim kita wajar menerima hakikat kebenaran sekalipun bertentangan dengan kepentingan diri dan hawa nafsu.
Tanpa keikhlasan dan keterbukaan sebegini nescaya hati kita akan menjadi keras seumpama hati Bani Israel yang dinyatakan dalam ayat ini.
Hati yang keras dan mati pastinya jauh daripada hidayah, rahmat dan keredaan Allah s.w.t.
Antara cara untuk melembutkan hati ialah dengan banyak membaca dan mendengar ayat-ayat suci al-Quran, mendengar nasihat dan pedoman, menambah amalan-amalan ibadat sunat dan merenung alam kejadian Tuhan.
Insya-Allah, dengan melakukan pendekatan sebegini secara bersungguh-sungguh dan berterusan, hati kita akan disinari cahaya petunjuk, tenang tenteram, lembut dan bersifat lemah-lembut dalam semua perkara.
Kesimpulan
Enggan menerima kebenaran sekalipun ditunjukkan bukti adalah tanda hati menjadi keras dan mati. Setiap individu Muslim perlu melembutkan hati dengan bacaan al-Quran dan amal ibadat agar mudah menerima petunjuk dan rahmat daripada Allah s.w.t.
* Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
No comments:
Post a Comment